Pusat Sumber Paling Inovatif
sk sungai haji muhammad
SK Sungai Haji Muhammad merupakan salah sebuah sekolah luar bandar yang terletak dalam daerah hilir perak. Sekolah yang berusia mencecah 100 tahun ini masih berdiri teguh bagi menjalankan fungsinya sebagai pusat penyebaran ilmu untuk anak-anak permata Negara di sekitar kawasan Selekoh ini. Blok pusat sumber yang berada di tengah kawasan sekolah telah menjadikannya salah satu destinasi tumpuan bagi murid-murid dan guru-guru. Tambahan pula, kepelbagaian tawaran perkhidmatan yang disediakan seperti penggunaan bahan-bahan bantu belajar dan peralatan, bahan-bahan bacaan yang terkini dan mencakupi segenap bidang ilmu serta pameran sudut-sudut yang menarik telah menambat hati pencinta-pencinta ilmu untuk berada di sini. Sudut akses kendiri merupakan di antara sudut pilihan di mana mereka berpeluang membaca akhbar secara ‘on-line’ dan mencari maklumat untuk meyelesaikan tugasan secara kolaboratif. Selain itu, sudut pameran bertema dan sudut permainan dalaman yang turut menyediakan pelbagai aktiviti telah berjaya mencuri perhatian murid-murid untuk mengunjungi pusat sumber pada masa senggang mereka. Di samping itu, susun atur dan dekorasi pusat sumber yang sentiasa kemas dan teratur telah menimbulkan satu suasana yang tenang dan mendamaikan. Justeru, Pusat Sumber SK Sungai Haji Muhammad akan terus menjadi nadi penggerak masyarakat berilmu.