sk sg kelambu
KELAS TAHUN 2 MAJU.
Beberapa sudut telah diwujudkan yang merangkumi Sudut Kerohanian, Papan Info Kelas, Rak Buku dan Sudut Anugerah dan Pencapaian. Sudut Kerohanian disediakan untuk murid dan guru untuk aktiviti kerohanian seperti membaca al-Quran, mengerjakan solat dan pelaksanaan aktiviti pembelajaran seperti amali solat dan tasmik al-Quran. Murid digalakkan menggunakan sudut ini pada bila-bila masa yang sesuai. Papan info kelas berfungsi sebagai sumber maklumat berkaitan misi, visi, motto dan slogan sekolah. Carta organisasi kelas turut dipaparkan di sini. Doa harian dan pelan kebakaran turut disediakan. Rak buku diwujudkan bagi kemudahan murid dan guru dalam mengurus buku-buku latihan dan buku aktiviti murid yang digunakan semasa aktiviti pembelajaran. Sudut Anugerah dan Pencapaian memaparkan sijil-sijil penghargaan yang diperolehi oleh kelas 2 Maju sepanjang tahun 2016. Sudut Bacaan, Gerai Jualan `Kiddy Shop` dan Eureka Tong Sampah. Sudut Bacaan diwujudkan dengan objektif menanam minat membaca dalam diri murid disamping mengisi waktu senggang murid semasa berada dalam kelas. Sudut ini menyediakan pelbagai bahan bacaan seperti majalah, buku cerita dan buku ilmiah. Murid turut dapat memperkayakan pengetahuan melalui bahan akses kendiri. Gerai Jualan yang dinamakan `Kiddy Shop` dibina bagi memberi peluang kepada murid untuk mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari seperti kemahiran mengira, kemahiran bahasa, kemahiran berkomunikasi dan interaksi sosial serta penerapan nilai-nilai murni dan keusahawanan sejajar dengan hasrat kemenjadian murid melalui garapan KSSR. Eureka Tong Sampah merupakan hasil reka cipta dan idea murid bagi memotivasikan diri memastikan kelas sentiasa bersih dan ceria. Eureka ini menghasilkan bunyi penghargaan apabila murid memasukkan sampah ke dalamnya. Murid berasa seronok dan dihargai ketika membuang sampah. Nilai murni menghargai dan mencintai alam sekitar secara tidak langsung diterapkan dalam diri murid kerana hasil ciptaan ini diperbuat daripada botol plastik terbuang. Sudut Sambutan Hari Lahir, Pentasku Ceritaku dan Papan Ilmiah. Sudut Sambutan Hari Lahir diwujudkan bagi mengingati hari lahir murid kelas 2Maju. Murid akan berasa dihargai dan disayangi selaras dengan pelaksanaan Program Guru Penyayang. Ibu bapa turut menyokong usaha ini dan memberi pelbagai sumbangan berupa makanan, hadiah dan sebagainya. Pentasku Ceritaku dibina untuk meningkatkan keyakinan dan keberanian murid berhadapan dengan audien semasa aktiviti pembelajaran berlangsung. Murid juga dapat berkomunikasi dan meningkatkan kemahiran berbahasa secara optimum. Papan ilmiah memaparkan pelbagai maklumat berkaitan subjek teras dan elektif yang dipelajari mengikut silibus yang ditetapkan. Ia juga turut memuatkan pelbagai maklumat dan info tambahan sebagai rujukan dan pertambahan idea dan pengetahuan murid terhadap sesuatu bidang.