smk bandar banting
SMK Bandar Banting terletak di lokasi yang berhampiran Ibu Pejabat Polis Kuala Langat, Hospital Daerah Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Langat dan Perpustakaan Daerah Kuala Langat. Kedudukan yang strategik dengan struktur bangunan yang baru menyebabkan kantin ini nampak cantik dan moden sedikit daripada sekolah yang lain. Anjung selera SMK Bandar Banting adalah nama yang diberikan oleh bekas pengetua Pn Hjh Rahani bt Arshad melalui program Kebitaraan Kantin Sekolah pada tahun 2012. Persetujuan menggunakan nama ini kerana inginkan kelainan daripada kantin-kantin yang lain. Malah Pn Pengetua telah memilih Visi Ceria, Bersih dan Berinformasi serta memilih Misi Bersih, Selamat dan Ceria sebagai satu platform untuk mewujudkan warga sekolah yang gemilang. Program ini telah diteruskan oleh pengetua selepas beliau iaitu Tn Hj Khairi b. Bidin selaku pengetua pada tahun 2013-2015. Memandangkan nama kantin yang sangat klasik, Tn Pengetua bersama PIBG bersepakat untuk mewujudkan anjung di hadapan kantin dengan kos bersama di antara pengusaha dengan PIBG. Bersesuaian dengan nama yang dipilih pihak sekolah bersetuju untuk memilih konsep Nusantara bagi program Kebitaraan Kantin pada tahun itu. Pelbagai kejayaan telah dimenangi oleh kantin ini. Malah mendapat pengiktirafan gred A premis makanan daripada Kementerian Kesihatan Daerah dan Majlis Daerah Kuala Langat Anjung Selera SMK Bandar Banting telah terpilih untuk mewakili daerah Kuala Langat ke pertandingan Anugerah Kantin Bersih, Selamat dan Sihat di bawah anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia tahun 2014 disamping mewakili daerah ke Pertandingan Anugerah Kantin Bersih sempena Karnival 3K di bawah anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor pada tahun yang sama. Anjung Selera SMK Bandar Banting telah menjadi Johan untuk kedua-dua pertandingan tersebut. Malah Anjung Selera SMK Bandar Banting berjaya mewakili negeri Selangor ke peringkat Kebangsaan pada tahun 2014. Sepanjang program ini berlangsung pelbagai inovasi telah dilakukan oleh pihak sekolah untuk menaik taraf kantin sekolah ini. Sebanyak 25 inovasi telah dibuat oleh warga SMK Bandar Banting bersama dengan PIBG bagi memastikan kantin sentiasa berada dalam keadaan bersih, ceria dan lengkap dengan maklumat pembelajaran di samping membina tanggungjawab dan bekerjasama menjaga kebersihan, keceriaan, menghargai kemudahan yang disediakan serta memupuk semangat satu Malaysia. Pihak sekolah cuba untuk merealisasikan matlamat untuk menjadikan kantin SMK Bandar Banting bertaraf lima bintang di samping memberi kesedaran dan motivasi kepada pelajar tentang tanggungjawab menjaga kebersihan, bekerjasama menceriakan kantin ,menghargai kemudahan serta berusaha menjadikan kantin sebagai tempat yang penuh dengan pelbagai maklumat. Program Kebitaraan ini telah diteruskan oleh Pengetua baru Pn Ros bt Lizan supaya Anjung Selera SMK Bandar Banting dapat mengekalkan nama sebagai Kantin Bersih dan Selamat apabila dipilih PPD untuk mewakili daerah Kuala Langat dalam program 3K Peringkat Negeri Selangor 2016. Panorama di sekeliling kantin ini menarik minat pelajar untuk menjadikan kantin sebagai tempat pelbagai wadah ilmu. Pelbagai tanaman herba dan sayuran di tanam di Laman Warisan Bonda di bawah kelolaan Panitia Sains dan Matematik bersama Panitia Kemahiran Hidup. Bagi memastikan ada kesinambungan program nilam pihak sekolah telah mewujudkan Wakaf Nilam di bawah seliaan Pusat Sumber untuk memudahkan pelajar mendapatkan maklumat. Pelajar dan guru akan menggunakan kantin untuk menjalankan program nilam kerana kedudukannya yang selesa.