Pusat Sumber Paling Inovatif
sk nusantara
Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Nusantara beriltizam memastikan seluruh warga sekolah berupaya untuk memaksimumkan perolehan ilmu dengan menjadikan pusat sumber sebagai tempat rujukan dan aktiviti yang utama. Persekitaran dan iklim pembelajaran di pusat sumber yang sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar para pengunjung sentiasa berasa selesa dan kondusif. Pelbagai input juga sentiasa dikemaskini agar seiring dengan pembelajaran abad ke-21. Terdapat tiga sudut utama yang ditekankan bagi pertandingan GPS Bestari pada kali ini iaitu Sudut Crossword Puzzle, Sudut Rehat Buku dan Sudut Kreatif Murid. Kesemua sudut ini pastinya memberi manfaat yang amat bernilai kepada para pengunjung terutamanya kepada murid-murid.
Sudut Crossword Puzzle merupakan ruang di mana pengunjung boleh mencari perkataan-perkataan yang tersembunyi. Crossword Puzzle ini adalah unik kerana mengandungi dwibahasa iaitu di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Didapati para pengunjung terutamanya murid-murid berasa begitu teruja dengan sudut ini di mana dapat dilihat mereka begitu aktif dan bersemangat di dalam mencari perkataan-perkataan yang tersembunyi di dalam Sudut Crossword Puzzle ini.
Sudut Rehat Buku pula adalah ruangan di mana pengunjung boleh memilih bahan bacaan yang santai sambil membaca bahan bacaan di ruangan yang terbuka ini. Konsep membaca sambil santai ini amat berkesan di dalam memupuk minat membaca dalam kalangan pengunjung yang berkunjung ke pusat sumber ini. Selain itu, pengunjung juga berupaya untuk merehatkan emosi mereka dengan membaca apabila berada di sudut ini.
Selain itu, terdapat Sudut Kreatif Murid di mana segala hasil kerja murid yang berkualiti tinggi dipamerkan di sudut ini untuk tatapan para pengunjung. Sudut ini juga adalah sebagai salah satu penghargaan kepada murid-murid sendiri yang telah bertungkus-lumus menghasilkan hasil kreativiti mereka. Dengan ini, pengunjung juga berupaya melihat hasil kreativiti murid-murid yang belajar di SK Nusantara yang terdapat di ruangan ini.
Tuntasnya, pusat sumber mampu memangkinkan lagi kecemerlangan sekolah sekiranya pusat sumber memainkan peranannya dengan semaksimum mungkin. Sebagaimana hasrat dan matlamat pusat sumber SK Nusantara, semoga seluruh komuniti terutamanya warga SK Nusantara berupaya menjadi warga yang berilmu pengetahuan seterusnya menjadi generasi yang berintelektual dan berwawasan.