sekolah kebangsaan medini
Dimana sahaja, nama beliau di hati anak-anak murid dan juga ibubapa. Tingkahlakunya, tutur kata beliau meninggalkan impak positif kepada orang di sekeliling. Anak-anak murid sayang kepadanya, rakan sekerja turut hormat dan ibu bapa juga menyukai sifatnya. Nama diberi Cikgu Mohamad Rizal Bin Kapandi. Beliau merupakan seorang guru yang kreatif, inovatif , berjiwa sastera dan nasionalis .
Cikgu Rizal merupakan seorang yang kreatif dan inovatif. Di dalam PdP beliau, dua elemen ini tidak pernah ditinggalkan sejajar dengan pembelajaran alaf-21 yang memerlukan sesuatu yang kreatif dan inovatif. Beliau merupakan penerima Anugerah Malaysia Leading Paper Engineer oleh International Paper Engineering Society yang berpengkalan di New York, penerima Anugerah Guru Inovatif Daerah dan Negeri Johor pada tahun 2012, 2013,2014 dan 2016. Banyak lagi anugerah dan pencapaian beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai seorang guru.
Selain itu, beliau juga aktif menjalankan bengkel kreatif seperti Bengkel Pop-Up dan Art Science dengan kerjasama CSR (Corporate Social Responsibilities ) Medini Iskandar Sdn Bhd dan juga Bengkel Art Awaken Star Wars bersama Star Wars Malaysia Official Fan Club(SMOFC). Banyak lagi syarikat korporat dan badan NGO yang bekerjasama dengan beliau untuk perkembangan pendidikan anak didik beliau. Semangat beliau dalam aktiviti sedemikian ini telah menarik minat pihak luar dan menjemput beliau menjalankan bengkel kreatif seperti dari pihak SMOFC untuk mengendalikan Bengkel Art Awakens Star Wars di Kuala Lumpur selain Asean Festival Children Content di Singapura.
Sifat kreatif dan inovatif ini telah membawa beliau ke beberapa buah negara sebagai seorang pembentang kajian tindakan inovasi dan pengendali bengkel kreatif di dalam dan luar negara seperti Jepun, Indonesia dan Singapura. Anugerah sebagai pembentang terbaik juga pernah disandang oleh beliau. Melalui pengalaman sedia ada, beliau membuka peluang berkongsi dengan rakan guru dan anak-anak murid dalam menyertai pertandingan dan persidangan pendidikan sebegini. Kejayaan terkini adalah memenangi pingat gangsa bersama lima orang murid dalam International Invention and Innovation Competition.
Hobi beliau menyertai acara marathon juga dikongsi untuk nama baik sekolah. Buktinya, seramai 30 orang murid dibawa atas program pengantarabangsaan di Singapore Zoo Run dan semua murid berjaya mendapatkan pingat mengikut masa yang ditetapkan. Beliau juga pernah membawa murid menyertai International Olympic Run dan meraih tempat ke tujuh. Usaha beliau sesuai dengan moto yang diwar-warkan iaitu “Lets Mark MTS to the World” dengan menggalakkan lebih banyak lagi program pengantarabangsaan kepada murid.
Minat beliau dalam seni dan kebudayaan juga dikongsi bersama dengan usaha beliau membawa anak-anak menonton persembahan Orkestra Tim Burton di Kuala Lumpur, teater nusantara dan kanak-kanak serta teater muzikal antarabangsa di Kuala Lumpur dan Singapura. Beliau turut berusaha mendapatkan CSR bersama CIMB Foundation untuk kumpulan orkestra sekolah. Dalam lipatan sejarah, beliau pernah membawa murid sekolah asli mempersembahkan tarian sewang di hadapan Sultan Johor ketika program Kembara Mahkota Johor.
Beliau sering menterjemahkan jiwa nasionalisnya. Seorang yang amat cintakan Negara dan gemar berkongsi semangat patriotismenya. Pada 2015, beliau meraih Johan dalam pertandingan landskap kemerdekaan Negeri Johor. Beliau telah menceriakan kediaman rumahnya di kampung dengan dekorasi kemerdekaan dan menjalankan beberapa aktiviti dengan keluarga besar beliau.Diharapkan beliau akan terus maju dalam merealisasikan segala impiannya dan demi pendidikan anak bangsa.