Pusat Sumber Paling Inovatif
sekolah kebangsaan medini
Pusat Sumber SK Medini dikenali sebagai The Book Kingdom (TBK). Mula beroperasi pada tahun 2014 dengan sumbangan bahan bacaan daripada ibu bapa dan komuniti setempat. Pusat sumber kami mengambil idea dari beberapa perpustakaan sekolah antarabangsa yang menyediakan ruang dan kemudahan yang lebih santai dan rileks untuk dikunjungi. Dekorasi yang menarik menjadikan pusat sumber ini medan santai termasuklah persinggahan bagi murid yang menunggu untuk bersekolah agama pada sesi petang di sekolah yang sama. Apa yang menjadikan The Book Kingdom istimewa, ia menyediakan taman di dalam perpustakaan. Di sini, disediakan landskap taman dengan pancuran air, ‘bean bag’, rumput tiruan dan pokok-pokok serta pancuran air dilengkapi dengan bunyi unggas dan deruan air sungai. Terdapat juga pondok buku iaitu Art Xcess Library (AXL) yang merupakan perpustakaan mini sekolah yang keseluruhannya berjumlah 18 unit di sekeliling sekolah. Projek Inovasi AXL ini telah mendapat sokongan beberapa syarikat industri dan ADUN setempat untuk permohonan pengiktirafan Malaysia Book of Record. Selain itu, ia juga akan dibentangkan di persidangan kajian pendidikan di Jepun, Labuan dan Bali. Projek inovasi Pusat sumber ini telah meraih pingat gangsa dalam International Invention and Innovation pada Mei lalu di Port Dickson dan kami adalah satu-satunya sekolah kebangsaan yang bersaing dalam kategori sekolah. Selain itu, TBK mempunyai sudut khas yang ekslusif yang dinamakan Medini Mind dengan tajaan Medini Iskandar (M) Sdn Bhd atas program Corporate Social Responsibility (CSR). Projek ini telah bermula sejak 2014 dan berterusan sehingga kini dimana TBK mendapat tajaan RM7000 setiap tahun untuk program pusat sumber dan literasi. Sudut Medini Mind ini memfokuskan kepada aktiviti inovasi, kreatif dan aktif. Di mana ditempatkan pelbagai koleksi buku pop up seluruh dunia seperti United Kingdom, Rusia, Amerika dan hasil murid. Sudut ini eksklusif kerana hanya di SK Medini sahaja disediakan koleksi buku pop up sementalah GPM di sini merupakan penerima Anugerah Malaysia Leading Paper Engingeer oleh International Paper Engineering Society yang berpangkalan di New York, Amerika. Selain menjalankan projek CSR bersama syarikat swasta, TBK juga menjalankan CSR bersama NGO seperti kelab rasmi Malaysia Star Wars Official Fan Club. Pelbagai aktiviti diadakan seperti Art Awakens Workshop dan Pembinaan pondok buku AXL Milenium Falcon. Guru pusat media juga telah dijemput bersama untuk bersama sertai trip ke Royal Selangor Star Wars Family Day. Pusat Sumber SK Medini sungguh bertuah kerana segala usaha kreatif dan invoatif guru mendapat perhatian dan sokongan daripada ibu bapa dan komuniti. Pusat Sumber ini mempunyai kumpulan khas yang dipanggil Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) The Book Kingdom. Kumpulan ini bergerak membantu guru menceriakan pusat sumber ini arah lebih bersifat inovatif dan interaktif. Selain itu, kumpulan ini juga secara aktif menyumbang dari segi kewangan dan mendapatkan tajaan dari pelbagai pihak. Usaha ini bagi menzahirkan Pusat Sumber yang mempunyai nilai tersendiri dan mampu menjadi tarikan buat seluruh warga SK Medini. Masih banyak lagi aktiviti yang akan dijalankan dengan usaha sama Jawatankuasa Pusat Sumber, KSIB Pusat Sumber dan komuniti luar menerusi program CSR pada masa akan datang demi pendidikan unggul anak-anak SK Medini.
237385 undi