sk laksamana (integ)
Persekitaran sekolah yang menyegarkan dengan kehijauan tanaman-tanaman dan kicauan ungas menyambut kehadiran warga sekolah SK Laksamana saban hari. Mengalu-alukan pengunjung yang datang ke sekolah kami. Bagi mengekalkan situasi tersebut SK Laksamana telah melaksanakan Program Sekolah Lestari Alam Sekitar iaitu membudayakan Pendidikan Alam Sekitar dengan menerapkan nilai murni alam sekitar dalam aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan secara berterusan bagi mewujudkan amalan hidup yang selaras dengan konsep pembangunan lestari.
Pelastarian ini diharmonikan dengan taman landskap di persekitaran sekolah dengan menanam pelbagai jenis tumbuhan dan pelbagai bentuk pokok yang subur menciptakan panorama flora dan fauna. Taman Lanskap menggunakan elemen seperti arca iaitu arca bumi untuk pembelajaran murid, piala untuk motivasi sentiasa mengejar kejayaan dan kecemerlangan. Arca jam agar warga sekolah sentiasa menepati masa dan mengisi masa lapang dengan berguna. Bangku dan meja dari simen ferro untuk murid-murid berbincang dan berehat. Terdapat wakaf dilengkapi dengan bahan bacaan dimanfaatkan oleh murid-murid yang menunggu ibu bapa selepas menjalani aktiviti di sekolah. Objek batu-batan disusun menghiasi taman dan laluan. Aliran air terjun terdapat di kolam pancuran air terjun berdekatan kantin dan di dalam bangunan Di mana kedengaran aliran air adalah suara alam.
Dalam proses menceriakan sekolah dengan landskap, pihak sekolah amat berterima kasih kepada komitmen setiap warga sekolah bersama Pelibatan Ibu Bapa Dan Komuniti (PIBK). Sinergi memacu keberkesanan pengurusan taman landskap ini, beberapa kolaborasi bersama komuniti seperti Majlis Daerah Kota Tinggi, Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor dan Jabatan Landskap Negeri Johor, bagi menjayakan untuk mendukung aspirasi bersama. Sokongan padu daripada pelbagai pihak ini amatlah dihargai.
Berorientasikan persekitaran sekolah yang berinformasi, Pelbagai program disusun seperti Program Fertigasi tanaman lada merupakan pertanian moden menggunakan media seperti sabut kelapa, baja cecair dialirkan ke pokok melalui saluran pengairan yang diukur dengan sukatan masa. Dijalankan oleh murid-murid pendidikan Khas pendengaran dan penglihatan. Program ini melatih kemahiran berdikari, komunikasi dan usahawan dengan belajar sambil menjana pendapatan.
Taman Herba di SK Laksamana berasaskan konsep sebagai perubatan dan kulinari seperti rempah ratus dan ulaman. Penubuhan Taman Herba sekolah adalah untuk memelihara warisan ubat-ubatan berasaskan herba yang diwarisi. Tumbuhan herba ini bertujuan memberi pengetahuan mengenai tumbuh-tumbuhan tersebut. Taman Herba ini dilengkapi dengan kawasan pejalan kaki refleksologi.
Program tanaman semaian dijalankan kawasan tapak semaian di mana anak-anak pokok ditempatkan sebelum ia ditanam ditempat yang kekal. Tumbuhan dibiak dan dibesarkan dalam jangka masa yang sesuai. Di tapak semaian, anak-anak pokok dapat dijaga dengan rapi dan pemilihan dibuat untuk mendapatkan pokok-pokok yang sihat. Tapak semaian ini juga digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Sains.
Sekolah Kebangsaan Laksamana telah dinobatkan Anugerah Khas Sekolah Harapan Lestari Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan dan Anugerah Khas Pengurusan Taman Lestari Peringkat Kebangsaan. Kini sedang dalam panel penilaian Pertandingan Landskap Peringkat Negeri. Persekitaran sekolah yang kondusif mendatangkan impak positif kepada kesihatan fizikal, pencetus dan penggerak minda murid-murid. Penggalak semangat untuk terus menimba ilmu. Meningkatkan kesedaran, rasa tanggungjawab, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.