Mural Paling Kreatif
smk dato' syed esa
“Patuhi Peraturan Sifarkan Kemalangan”, itulah tema mural yang telah dihasilkan oleh pelajar-pelajar SMK Dato’ Syed Esa ini. Mural ini dilukis dan diwarnakan bersama-sama oleh pelajar pelbagai kaum dengan bimbingan guru Pendidikan Seni, menggunakan masa di luar waktu pembelajaran, iaitu di sebelah petang dan hujung minggu. Mural ini dipaparkan di dinding bangunan koperasi sekolah, yang boleh disaksikan bukan sahaja oleh warga sekolah, bahkan masyarakat luar. Hal ini demikian kerana sebagai serampang dua mata, mural ini bukan sahaja boleh digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran, bahkan boleh menjadi sumber pendidikan kepada masyarakat. Sebagai sebuah sekolah yang terletak di kawasan bandar Batu Pahat, walaupun tidak sesibuk seperti lalu lintas di bandar-bandar besar lainnya, keselamatan jalan raya masih lagi menjadi perkara utama yang tidak harus diabaikan. Justeru, rekaan mural ini ini dapat mengingatkan warga SMKDSE tentang kepentingan menjaga keselamatan jalan raya dengan mengutamakan peraturan lalu lintas. Jika kita sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, sudah tentu kemalangan jalan raya dapat dielakkan. Sebahagian besar warga SMKDSE sememangnya menggunakan jalan raya setiap kali pergi dan balik ke sekolah. Mereka menaiki bas atau van sekolah, menunggang motosikal atau basikal, memandu kereta atau berjalan kaki. Sebagai sebahagian daripada pengguna jalan raya keseluruhannya, tanggungjawab menjaga keselamatan jalan raya memang harus dipikul bersama juga oleh warga SMKDSE. Antara peraturan jalan raya yang kadangkala diabaikan ialah melintas di tempat yang dibenarkan, menunggu lampu isyarat, menggunakan jejantas, menunggu bas di perhentian bas, menggunakan tali pinggang keledar, menggunakan topi keledar dan membaca papan tanda. Mereka harus sentiasa peka terhadap semua peraturan jalan raya yang sedia ada. Mural ini cuba untuk menggambarkan suasana ini bagi memenuhi tuntutan keselamatan jalan raya. Semoga mural ini akan memberi kesan positif kepada pelajar dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
150887 undi