Pusat Sumber Paling Inovatif
smk taman hitech
Pada masa kini, sukar menemui pelajar berminat untuk menjejakkan kaki ke pusat sumber. Kecanggihan teknologi masa kini menjadikan pelajar lebih suka meminimumkan pergerakan dan memperolehi maklumat melalui hujung jari. Pusat sumber sebagai medium ilmu tidak lagi boleh bersifat konvensional, iaitu pencarian maklumat melalui bacaan semata-mata. Oleh itu, guru perpustakaan dan media (GPM) menggunakan daya kreativiti untuk menarik minat pelajar datang dan menggunakan pusat sumber sebagai gedung ilmu dengan sewajarnya. Elemen tarikan yang digunakan oleh GPM ialah menceriakan suasana pusat sumber agar tidak kelihatan suram dan kelam. Penggunaan warna seperti ungu violet dan biru turquoise sebagai latar utama telah membuahkan kejayaan kerana berjaya menarik perhatian pelajar dan guru. Selain itu, dekorasi peralatan dan perabot yang dipelbagaikan telah berjaya mencuri perhatian para pelajar untuk berada lama di pusat sumber. Susun atur ini amat sesuai untuk pelajar-pelajar melakukan bacaan dan perbincangan dalam bentuk kumpulan kecil mahupun secara individu. Selain susunan rak yang telah dilabelkan, buku-buku juga diperbanyakkan dan dikatalogkan mengikut genre. Genre-genre yang popular diletakkan berdekatan dengan tempat bacaan yang disediakan. Ini memudahkan pelajar untuk mencari dan mengambil buku tersebut. Bertepatan dengan sikap pelajar masa kini yang tidak suka membaca dalam tempoh yang lama, di setiap ruang terdapat pelbagai bentuk informasi yang ringkas dan padat turut disediakan. Informasi dalam pelbagai bentuk dan berwarna warni beserta maklumat yang sentiasa dikemaskini mengikut perkembangan semasa juga menjadi daya tarikan . Antaranya, sudut astronomi mampu mencuri tumpuan pelajar-pelajar terutamanya yang begitu berminat dengan bidang sains. Replika angkasawan ini boleh digunakan untuk mengambil gambar dan menjadi satu pembakar semangat untuk terus meneroka bidang astronomi melalui penggunaan pusat sumber sekolah. Informasi lanjut melalui sumber-sumber lain seperti mural pada setiap dinding pusat sumber, model-model sistem cakerawala, keratan akhbar dan catatan yang diletakkan di setiap meja yang ada dalam pusat sumber berkenaan turut menjadi daya penarik kepada pengguna pusat sumber ini. Maklumat mengenai bidang yang berkaitan dengan astronomi turut ditayangkan melalui tayangan video yang dilakukan secara berkala. Malahan rancangan pendidikan melalui televisyen juga disediakan untuk para pelajar bagi meningkatkan kemahiran mendengar dan keupayaan otak untuk mentafsir maklumat yang diperolehi. Pameran bertema berdasarkan isu semasa juga menjadi tarikan kepada pengunjung seperti pameran seni dan pameran inovasi. Galeri ASEAN pula memperincikan informasi berkaitan dengan politik, ekonomi sosial masyarakat Malaysia dan serantau. Laman informasi digunakan untuk menyampaikan maklumat yang sukar diperoleh, jarang ditonjolkan tetapi penting untuk mengenali jati diri dan identiti Malaysia yang unik seperti pameran di Mini Muzium iaitu basikal tua, barangan tembaga,pakaian tradisional mengikut kaum di Malaysia dan alat permainan tradisional seperti wau dan congkak. Pameran ini sememangnya menjadi daya penarik utama kepada pengunjung pusat sumber untuk datang kerana mereka bukan hanya boleh melihat malah menyentuhnya. Kesimpulannya, keistimewaan pusat sumber SMKTHT telah menjadi satu “time tunnel” yang membantu penguasaan ilmu melalui penghayatan dan pengalaman yang dialami sendiri oleh pelajar tersebut. Ini selaras dengan visi dan misi sekolah dalam membangunkan potensi pelajar bagi memenuhi aspirasi negara.
2197053 undi